Just another WordPress.com site

MENGAPA CPI KITA SEMAKIN MERUDUM?

Nilai Indeks Persepsi Rasuah Malaysia yang turun dari tangga 56 ke tangga 60 dengan kekurangan skor sebanyak 0.1 mata memang sudah dijangka sejak awal-awal lagi. Ini bukan suatu perkara yang mengejutkan kerana berdasarkan prestasi dan pelaporan isu rasuah sepanjang tahun 2011 masih menunjukkan tahap kesedaran masyarakat terhadap rasuah bukan pada yang sepatutnya.

Pengaruh Politik Semasa

Tidak sukar untuk menyatakan bahawa di negara yang mana terdapatnya perubahan politik semasa, yakni sokongan kepada pembangkang semakin meningkat akan mempengaruhi penurunan CPI.

Ambil saja contoh negara jiran, Singapura, walaupun berada pada tangga kelima tahun ini dengan skor sebanyak 9.2, tetapi ia juga mengalami penurunan sebanyak 0.1 mata dan merupakan antara skor terendah negara berkenaan sepanjang tujuh tahun kebelakangan ini.

Perkara yang sama juga berlaku kepada negara jiran Thailand, dimana  dengan perubahan politik sekitar awal tahun ini turut menjadikan isu rasuah sebagai salah satu isu dalam pilihanraya negara berkenaan. Skor Thailand turun daripada 3.5 kepada 3.4 tahun ini.

 

Peranan Ahli Politik

Melihat kepada perkara ini, tidak hairanlah bahawa ahli politik memainkan peranan penting dalam memperkatakan isu rasuah.

Ahli Politik sepatutnya bersama-sama agensi anti rasuah dalam memerangi rasuah dan penyelewengan, tetapi sebaliknya ahli politik di negara ini dilihat lebih gemar mengambil kesempatan dalam menggunakan isu rasuah untuk menjatuhkan pihak lawan.

Tanpa disedari, mereka juga sebenarnya telah turut mempengaruhi  persepsi masyarakat terhadap isu rasuah di negara ini.

Ironinya memang sukar untuk mencari ahli politik yang benar-benar komited memperkatakan isu rasuah di negara ini bukan?, selain menunding jari kepada lawan, dan membuat tohmahan, mereka juga sering dilihat mengambil kesempatan memperbesarkan isu berkaitan agensi anti rasuah tempatan.

Ambil contoh isu Teoh Beng Hock yang ditemui mati ketika membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lihat berapa ramai ahli politik pembangkang yang tampil memohon simpati masyarakat  dengan tujuan memeperlihatkan kegagalan parti pemerintah?

Isu berkenaan diperbesarkan dan ditokok tambah, sedangkan ketika Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berlangsung awal tahun ini, tidak kelihatan pula kelibat keluarga TBH mahupun ahli politik yang memperjuangkan kematiannya.

Soal penyelewengan yang disyakki mungkin terdapat dalam pemberian tender oleh kerajaan pembangkang bagi projek-projek kecil kerajaan negeri dan sistem amalan ’ali baba’ yang dikeluarkan dalam perbicaraan Suruhanjata Siasatan Diraja tersebut tidak pula dijadikan isu dan salah satu faktor yang patut diambil kira. Tidakkah ganjil disitu?

Akibat terlalu banyak menggunakan isu rasuah dalam urusan politik, maka masyarakat yang dilihat hari ini adalah masyrakat yang mempunyai persepsi pelbagai terhadap isu rasuah, mengikut fahaman politik yang dipegang mereka.

SPRM pula dijadikan tempat pembuangan tohmahan setiap kesalahan yang cuba diperlihatkan oleh parti-parti politik ini, sedangkan agensi ini juga terikat dengan peruntukan undang-undang dibawah bidang kuasa tertentu sahaja.

Kegagalan Kerajaan Mendidik Masyarakat

Tidak dinafikan, telah banyak usaha yang di buat oleh kerajaan sekarang dalam usaha mengurangkan kadar rasuah dinegara ini. Tetapi sejauh mana ia berkesan, sekiranya semua pihak hanya mengambil kesempatan dan tidak membantu menyokong inisiatif tersebut.

Penubuhan NKRA Rasuah dan SPRM dilihat sebagai satu usaha yang patut diangkat oleh semua pihak dalam usaha membenteras rasuah. Namun ia dilihat tidak kemana kerana usaha ini tidak dapat dirasai dan dilihat oleh masyarakat.

Beban memberi pendidikan pencegahan rasuah dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan rasuah seolah-olah hanya perlu ditanggung oleh dua entiti ini sahaja.

Sebagai contoh, dalam sistem perolehan kerajaan, telah banyak inisiatif dan cadangan yang dikemukakan dua entiti ini bagi menjamin ketelusan dan pengurangan ruang penyelewengan. Tetapi adakah ianya diikuti oleh semua agensi kerajaan? Atau hanya mendengar dan mengangguk semata?

Memang usaha menandatangani ikrar integriti untuk meningkatkan ketelusan dan sistem dan prosedur giat dilakukan, malah, seperti paparan semasa, badan-badan korporat, kelompok perniagaan dan agensi penguatkuasaan juga dilihat mahu bekerjasama dalam perkara ini. Tetapi sejauh manakan tahap keseriusan mereka?, sekadar tandatangan sahaja dengan tiada insiatif susulan atau berharap tindakan susulan daripada pihak SPRM sahaja?

Masyarakat  sendiri tidak dapat melihat dan merasai usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini, kerana mereka lebih mengutamakan diri dan kepentingan sendiri. Dalam erti kata lain masyarakat kita gagal dididik membenci rasuah.

Buktinya setelah lebih setahun Kempen Perangi Pemberi Rasuah (satu inisiatif SPRM) dilaksanakan, masih terdapat sejumlah 316 aduan (sehingga 15 November tahun ini) yang diberikan berkaitan pemberian rasuah.

 

Kebolehterimaan CPI

CPI dikeluarkan sejak tahun 1995 oleh Transparency International (TI), sebuah badan bukan Kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Berlin, Jerman.  Indeks ini hanya mengkhususkan kepada isu persepsi tahap rasuah sesebuah negara di mana kedudukan sesebuah negara akan disenaraikan mengikut skor yang diperoleh dan bukannya berdasarkan realiti sebenar tahap rasuah di negara terbabit. CPI dikeluarkan berdasarkan pengumpulan kajian-kajian oleh pelbagai pihak, terutamanya berdasarkan soal selidik yang dijalankan ke atas ahli-ahli perniagaan luar negara dengan penekanan diberi kepada elemen rasuah.

Seperti tahun ini, CPI Malaysia dikira berdasarkan 12 kajian antarabangsa yang telah dijalankan oleh NGO lain. Oleh itu, CPI Malaysia hanya dikira berdasarkan 12 kajian ini sahaja, bukan kajian yang dibuat sendiri oleh TI. Jadi ianya boleh dikatakan mengambil kira pandangan orang luar terhadap situasi semasa dan isu rasuah di dalam negara ini.

Sumber-sumber kajian tersebut juga tidak dinyatakan secara terperinci, sampel yang digunakan mahupun metadologi kajian, tidak pernah dinyatakan. Jadi adakah ini benar-benar persepsi rasuah di negara ini atau hanya pendapat asing?

Malaysia negara yang korup?

Penurunan CPI setiap tahun sejak  tahun 2009 menunjukkan Malaysia seolah  negara dimana tahap rasuahnya semakin parah. Sedangkan realitinya tidak sebegitu.

Mungkin kerana, isu ’ikan jerung, ikan bilis’ yang sering diperkatakan menyebabkan masyarakat antarabangsa melihat negara ini kurang komited memerangi jenayah rasuah berskala besar kerana tiada tangkapan melibatkan kes-kes berprofil tinggi.

Walaupun banyak usaha yang telah dilakukan oleh SPRM sejak berdiri sebagai sebuah Suruhanjaya pada 2009, tetapi ia dilihat seolah tidak terkesan dihati masyarakat. Berbuih-buih juga mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang dahulu dan yang sekarang menyeru masyarakat memerangi rasuah. Tetapi nampaknya suara mereka tenggelam dek kerana suara ahli politik yang lebih kebal.

Untung juga SPRM dapat membawa beberapa kes berprofil tinggi seperti kes bekas Menteri Besar Selangor , Khir Toyo, Alcaltel dan beberapa kes lain ke mahkamah. Tetapi berapakah peratus kemungkinan untuk mereka ini disabitkan bersalah, jika bukti dan saksi sendiri kurang bekerjasama?.

Selebihnya, SPRM terpaksa membuat inisiatif sendiri dengan melancarkan beberapa operasi-operasi berskala besar seperti Ops Pasir, Ops Balak, Ops 3B dan kes membabitkan pendatang tanpa izin di Pulau Ketam. Tetapi bila operasi ini hanya menangkap mereka yang berada di peringkat bawah sahaja, SPRM dikatakan hanya menangkap ikan bilis sahaja. Sedangkan masyarakat sendiri sedia maklum, rasuah itu seharusnya diperangi dari peringkat akar umbi.

Sebenarnya CPI bukanlah kayu pengukur tahap rasuah di negara ini. Dimana jika dilihat paparan  kes-kes rasuah yang dipertuduh dan jumlah sabitan yang dijatuhkan mahkamah keatas pesalah rasuah, tahap rasuah di Malaysia sebenarnya telah berkurang. Cuma tiada kajian dari pihak dalaman sendiri untuk mengukur tahap persepsi masyarakat dan hanya bergantung kepada laporan antarabangsa semata.

Kewujudan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah juga adalah bukti bahawa usaha pembenterasan rasuah di negara ini semakin baik tetapi sokongan itu yang masih kurang.

HABIS.

ini adalah pandangan aku sendiri sebagai seorang rakyak Malaysia. Kalau korang fikir sebaliknya, be my guest

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.